Pengasas Sekolah
         Insan  yang telah mengasaskan SK Changkat Chermin ialah Tuan Haji Sahih b. Malim Mamat.Beliau dilahirkan pada tahun 1901 di Bota Kiri,Parit, Perak.Ketika berumur belasan tahun,anak tunggal ini telah menunjukkan semangat  dan kegigihan berniaga buah-buahan dengan menaiki basikal hingga ke Kampong Koh,Sitiawan.Pada tahun 1940,beliau bersama-sama penduduk Kg Ayer Tawar memohon kepada Pegawai daerah tanah lessen dikawasan Changkat Chermin yang ketika itu masih semak samun.Beliau berpindah ke Changkat Chermin dalam tahun 1941.Terdapat  30 keluarga semuanya bersama-sama berusaha memajukan tanah seluas 80 ekar.Ketika zaman Jepun (1941),beliau pernah diseksa dan dipenjara selama 6 bulan di Sitiawan dan di Ipoh.Semangatnya tetap membara untuk memajukan Kg Changkat Chermin.Pada tahun 1946,bersama-sama rakan yang lain telah memohon kebenaran dari Pejabat Pelajaran di Batu Gajah untuk mendirikan sebuah sekolah.Walaupun usaha pertamanya gagal,namun berkat kegigihan dan permuafakatan,seramai 40 orang murid berjaya dikumpulkan dan sebuah  sekolah berjaya didirikan pada tahun 1948.Sekolah ini dibina dengan cara bergotong–royong menggunakan kayu-kayan hutan.Ia juga dilengkapi dengan tandas,telaga dan kerusi serta meja.Berkat kepimpinan beliau,pada tahun 1956 sekolah bantuan kerajaan  telah didirikan dengan suasana pembelajaran yang lebih sempurna.Kerana kepetahan bercakap,kecekapan bertindak,beliau dilantik menjadi Ketua Kampong pertama dari tarikh 17.12.1947 hingga 1960.Beliau bersama-sama  dengan Guru Besar,Tuan Haji zainal Abidin bin Haji Ibrahim,beliau telah berjuang menentang Malayan Union.Berbagai surat kepujian telah diberikan oleh kerajaan kepada beliau. Walaupun beliau telah meninggalkan kita,namun jasa beliau tetap dikenang untuk selama-lamanya.



SEJARAH SEKOLAH

Sekolah  ini mula ditubuhkan dengan pembinaan bangunannya yang pertama ialah pada penghujung tahun 1947.Atas usaha gotong-royong penduduk kampong maka terdirilah sebuah  bangunan yang dindingnya dari kulit rembia,atapnya dari daun rembia dan strukturnya daripada kayu-kayan tempatan.Perasmiannya telah dilaksanakan oleh Tuan Grace (Pegawai Daerah Dindings) pada tahun 1948.Ketika itu bilangan muridnya seramai 40 orang.Guru Besar pertamanya Encik Zainal Abidin bin Hj Ibrahim.Pada 15.5.1956 sebuah bangunan baru siap dibina menggantikan bangunan lama.Bangunan ini beratap genting,berlantai simen dan berdinding papan.Bagaimanapun ia tidak dapat menampung sebilangan pelajar yang terpaksa belajar di surau kampung.Sebuah padang telah disiapkan pada  26.10.1958 dan dua tahun selepas itu kejohanan sukan pertama telah diadakan.Tanggal 26.9.1973 Persatuan Ibu-Bapa dan Guru ditubuhkan.Bangunan baru dua tingkat telah dibina berhampiran bangunan lama.Bangunan siap pada 31.8.1983.Luas kawasan sekolah ketika itu ialah 3.3.802 ekar.Ia telah dirasmikan oleh YB Dato Abdullah bin Hj Ahmad Badawi,Menteri Pelajaran ketika itu pada 23hb Mac 1985.Bangunan lama digunakan oleh Tadika Kemas.Pertambahan bilangan murid sejak tahun 1960 pada kadar 5% hingga 10%.Pada tahun 1967 bilangan pelajar adalah 103 orang dan pada tahun 1985 pula seramai 169 orang.Dari segi akademik pula pencapaian dalam Ujian Penilaian Darjah Lima bermula di tahun 1967,peratus ialah 23% dan pada tahun 1984 pada kadar 70.4%.Keputusan dalam UPSR 2008 ialah 76.5% dengan pencapaian terbaik kuantiti iaitu 3 orang murid memperolehi 5A dan 3 orang perolehi 4A1B.

 GAMBAR PERASMIAN SEKOLAH


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...